Thursday, August 30, 2018

FLORIA DIRAJA PUTRAJAYA 2018

FLORIA 2018 ~ A Journey Through Time...

Assalamualaikum wbt.

Floria lagi... 😊

Alhamdulillah, sekali lagi saya dan team, Zaimmar Associates telah diberi kepercayaan untuk merekabentuk taman-taman utama Floria Diraja Putrajaya 2018.

Penganjuran Floria pada kali ini mempunyai sedikit kelainan dari segi konsep iaitu bersempena sambutan ulangtahun ke-10 Floria Putrajaya, taman-taman yang direkabentuk menggunapakai bunga-bunga tema yang pernah diketengahkan pada penganjuran Floria yang lepas.

ISTANA KENANGAN
Kuala Kangsar, Perak

Taman-taman utama yang kami rekabentuk untuk Floria kali ini adalah:

1. Special Garden : Taman Diraja Perak
2. Masterpiece Garden : 10 Wonders of Floria
3. Laluan Masuk Utama

•••••  TAMAN DIRAJA PERAK  •••••

Istana Kenangan yang terletak di Kuala Kangsar, Perak telah dipilih untuk dijadikan replika di dalam Taman Diraja Floria 2018. Rekabentuk istana ini diambil kerana ciri-ciri senibinanya yang unik, halus lagi berseni.

Untuk memperkukuhkan konsep Taman Diraja Perak ini, tatahias laman berhadapan replika Istana Kenangan telah mengambil keunikan warisan senibina Perak yang signifikan di Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Istana Kenangan yang asal terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Ia dibina pada tahun 1926 oleh seorang tukang kayu berbangsa Melayu dari Pulau Pinang yang bernama Encik Sopian serta dua orang anak lelakinya.

Istana Kenangan mendapat namanya pada tahun 1960-an setelah diperbaiki atas inisiatif Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Keluarga DiRaja Perak menghuni istana ini sehingga tahun 1982 di mana Almarhum Sultan Idris II berkenan menyerahkan pengawasannya di bawah Jabatan Muzium Negara.

Bangunan istana dua tingkat ini juga dahulunya dikenali sebagai Istana Lembah atau Istana Tepas. Pembinaannya adalah atas perintah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Iskandar Shah sebagai tempat bersemayam sementara menunggu siapnya pembinaan Istana Iskandariah.

Setelah baginda berpindah ke Istana Iskandariah, ia dijadikan Istana Tetamu terutama pada hari-hari perayaan Diraja seperti Hari Keputeraan, perlantikan orang-orang besar Perak dan istiadat-istiadat lain.

Istana Kenangan yang masih kukuh ini melambangkan senibina Melayu tradisional yang mengkagumkan kerana tiada sebarang paku besi digunakan, hanya kayu semata-mata. Keseluruhan bangunan istana menggunakan kayu keras jenis Belian. Bangunan ini dibina di atas 60 batang tiang dengan ukuran panjangnya kira-kira 41 meter dan lebarnya 11 meter.

Bentuk istana ini amat unik jika dilihat dari pandangan atas bangunan iaitu ia menyerupai sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarungnya.

Pedang adalah salah satu daripada alat kebesaran Diraja Perak yang terpenting.



Pelan istana seakan menyerupai sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarung.

Ukiran pada bumbung dan motif anyaman/ kelarai pada dinding tepasnya (diperbuat daripada bilah buluh) juga sangat halus buatannya. Dinding Tepas diperbuat daripada bilah-bilah buluh dan dianyam mengikut corak tertentu. Bumbungnya bercirikan perabung lima dan pisang sesikat. Warna dinding istana tersebut adalah melambangkan warna bendera negeri Perak iaitu kuning, hitam dan putih. Sebuah singgahsana ditempatkan di bahagian tengah tingkat atas istana ini manakala pada tingkat bawah pula dijadikan pejabat rasmi baginda.

Konsep taman istana ini mengetengahkan ciri-ciri senibina dan warisan khasnya yang terdapat di dalam Bandar DiRaja Kuala Kangsar iaitu di antaranya ialah Menara Pavilion, Menara Jam Kuala Kangsar, ikon Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah.

Taman Diraja Perak - Konsep Rekabentuk

Berikut adalah illustrasi 3D yang kami sediakan bagi Taman Diraja Perak untuk dipersetujui dan dimuktamadkan oleh pihak penganjur sebelum dibina di tapak.









Taman Diraja Perak - Proses Pembinaan







Taman Diraja Perak - Siap Dibina




Visual pada hari pelancaran rasmi Floria Diraja Putrajaya yang berlatarkan replika Istana Kenangan

Gerbang / Pintu Masuk Utama

Rekabentuk pintu masuk utama taman adalah diasaskan daripada pintu masuk utama Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang merupakan istana rasmi tempat bersemayam Raja-Raja Pemerintah yang ditabalkan sebagai Sultan Perak semenjak pembinaannya disiapkan pada 1933.


Gerbang ke Taman Diraja


Sejarah Menara Pavilion

Mengikut sejarah, bangunan yang terletak di Jalan Bendahara, Bandar DiRaja Kuala Kangsar ini didirikan pada tahun 1920 pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah yang memerintah negeri Perak dari tahun 1918 – 1938. Pavilion ini digunakan oleh Sultan Iskandar Shah sebagai tempat istirehat selepas bermain polo.


 Replika Menara Pavilion

Sejarah Menara Jam Kuala Kangsar

Menara Jam Kuala Kangsar siap dibina pada tahun 1939 di mana pada asalnya ia dibina untuk memperingati sambutan pertabalan King George VI di England. Akhirnya, pada 31 Ogos 1957, menara jam ini ditukar simbolik peringatannya ke sambutan kemerdekaan negara serta kebanggaan pembebasan negara dari penjajahan.


 Replika Menara Jam Kuala Kangsar


Arca Labu Sayong

Arca Labu Sayong dibina di tengah-tengah kolam kecil selepas pintu masuk utama sebagai alu-aluan kepada pengunjung. Labu Sayong sangat terkenal sebagai kraftangan warisan di Kuala Kangsar, Perak. Ia adalah sejenis bekas tembikar berwarna hitam menggunakan tanah liat dan diukir dengan teliti. Motif ukirannya adalah berasaskan kepada ciri-ciri tradisional khasnya bunga-bungaan seperti bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.


Arca Labu Sayong



Itu cerita Taman Diraja Perak..

Kita beralih pula kepada rekabentuk 'MASTERPIECE GARDEN' - 10 WONDERS OF FLORIA

•••••  10 WONDERS OF FLORIA  •••••

Setiap ruang di dalam taman ini mempamerkan bunga-bunga tema tahunan Floria yang dikenali sebagai ’10 Wonders of Floria’. Arca-arca berbentuk menara flora sebagai tarikan visual di taman ini adalah diinspirasikan daripada bentuk pohon-pohon rendang yang diliputi bunga-bunga mekar berwarna-warni. 

Kembara flora akan bermula dari pintu masuk yang mengetengahkan bunga tema Floria 2007 dan pengunjung akan dibawa meneroka laman bunga-bunga tema Floria bagi tahun-tahun yang selanjutnya sehingga memasuki ruang kemuncak Floria 2018.

Ruang-ruang santai dan ‘photospot’ diwujudkan di celah-celah taman ini agar pengunjung dapat berehat sebentar serta merakamkan kenangan mereka di sini. Pengunjung juga akan dihidangkan dengan visual hamparan bunga pelbagai warna yang dikenali sebagai ‘Meadow'.

10 Wonders of Floria - Konsep Rekabentuk

Berikut adalah illustrasi 3D yang kami hasilkan bagi 10 Wonders of Floria:









10 Wonders of Floria - Proses Pembinaan








10 Wonders of Floria - Siap Dibina











•••••  LALUAN MASUK UTAMA  •••••


Kawasan ketiga yang kami rekabentuk adalah laluan masuk utama ke tapak Floria.

Rekabentuk ‘entry statement’ di sepanjang laluan ke pintu masuk utama kawasan Floria adalah menggunakan fabrik berwarna dan beralun yang diinspirasikan daripada logo Floria. Susunatur fabrik ini diselangi dengan panel akrilik yang dihiasi corak bunga tema Floria.

Pada waktu siang, coraknya akan dipantulkan ke lantai menjadi bayang-bayang yang menarik manakala di malam hari, pencahayaan yang dipancarkan ke atas fabrik beralun akan merasakan suasana yang berlainan pula.


Laluan Masuk Utama - Konsep Rekabentuk


Ini adalah illustrasi 3D bagi laluan tersebut:






Laluan Masuk Utama - Proses Pembinaan



Laluan Masuk Utama - Siap Dibina




Akhir kata, kunjungilah Floria Diraja Putrajaya 2018 yang berbaki 2 hari lagi (lokasi di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya) jika anda berkesempatan dan hayatilah keindahan gubahan flora yang dipamerkan.